
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sharon Kung (Sabah)
KOTA KINABALU, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Stadium Likas, Kota Kinabalu bakal menjadi tumpuan dunia selepas dipilih untuk dijadikan arena utama penganjuran Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara (SEA) 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 30 November ini.

Ellron ketika ditemu bual Pegawai Penerangan Sabah, Nuzuluddin Abd Razak di Kompleks Likas.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin mengesahkan bahawa persiapan untuk kejohanan ini telah mencapai tahap 100 peratus dengan persediaan untuk menerima kunjungan atlet daripada 11 negara Asia Tenggara.
“Semua persiapan telah siap sepenuhnya, kini kita hanya menunggu kedatangan delegasi negara-negara yang akan bertanding, yang dijangka tiba di Kota Kinabalu 25 hingga 26 November.
“Kejohanan ini bakal menyaksikan penyertaan 11 negara dari Asia Tenggara antaranya Indonesia, Thailand, Singapura dan Kemboja dengan dijangka kehadiran sekitar 200 hingga 350 atlet dan pegawai pengiring,” katanya ketika ditemu bual dalam program Ada Apa Di Sabah di Kompleks Sukan Likas, di sini pada Jumaat.
Beliau berharap kejohanan ini bukan hanya memberi peluang kepada atlet untuk bersaing di peringkat antarabangsa tetapi juga dapat menjadi platform untuk memperkenalkan Sabah sebagai destinasi yang kaya dengan budaya dan keunikan.
“Kami berharap para atlet dan pengiring delegasi dapat meneroka Sabah dari segi kebudayaan dan keindahan alam semulajadinya.
“Justeru, kita mahu Sabah dikenali bukan hanya sebagai lokasi sukan, tetapi juga sebagai sebuah destinasi pelancongan yang menarik,” ujarnya.
Dalam kejohanan kali ini, seramai 80 atlet mewakili Malaysia dengan 13 atlet berasal dari Sabah, bakal beraksi di Kompleks Sukan Likas.
“Kami amat berharap atlet-atlet Sabah dapat mempersembahkan prestasi terbaik mereka di tanah kelahiran sendiri. Sebagai tuan rumah, kita juga mengharapkan agar atlet tempatan dapat bersaing dengan hebat di peringkat antarabangsa.

Ellron ketika meninjau persiapan Kompleks Sukan Likas bagi kejohanan Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara (SEA) 2024.
“Kejohanan ini diiktiraf dengan piawaian yang ditetapkan oleh World Athletics dan hanya atlet yang memenuhi kriteria ketat boleh bertanding. Ini menjadikan kejohanan ini lebih berprestij dan berkualiti tinggi,” jelasnya.
Datuk Ellron turut menyeru agar orang ramai, bukan hanya peminat sukan, tetapi semua rakyat Sabah, untuk hadir memberi sokongan kepada atlet-atlet tempatan dan peserta dari luar negara.
“Kejohanan seperti ini jarang diadakan di Sabah dan penghormatan diberikan Persatuan Olah Raga Malaysia kepada Sabah untuk menjadi tuan rumah kejohanan bertaraf antarabangsa ini amatlah besar ertinya kepada kita,” katanya.
-ZS-