Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

KRT Bagan Pasir Terus Perangi Jenayah

By 24 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/KRT Bagan Pasir

HUTAN MELINTANG, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Usaha memerangi jenayah menjadi tanggungjawab bersama dan penglibatan rakyat dalam usaha ini bukan sahaja akan mengurangkan kadar jenayah malah membantu pihak polis mengekalkan keamanan.

Sambutan menggalakkan daripada penduduk melambangkan hubungan erat antara polis dengan rakyat.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bagan Pasir Zaidi Zakaria, berkata demi memenuhi tanggungjawab sosial sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan menyedarkan penduduk tentang bahaya jenayah, maka KRT Bagan Pasir bersatu hati menganjurkan Program Jom Ronda dan Pendidikan Keselamatan Kejiranan di Mini Arena Taman Bagan Pasir, di sini pada Jumaat.

“Program julung kali diadakan ini mendapat kerjasama penuh daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang.

“Sambutan yang diterima menggalakkan dan dalam program ini rakyat dididik tentang bahaya jenayah terutama mengenai aktiviti scammer kepada komuniti dengan taklimat itu disampaikan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali,” ujarnya.

Sementara itu, ADUN Hutan Melintang Wasanthee Sinnasamy menzahirkan ucapan terima kasih kepada IPD Bagan Datuk atas kesudian meluangkan masa berkongsi ilmu dan pengalaman melalui taklimat yang sangat berharga.

Wasanthee turut meluangkan masa menyampaikan sumbangan kotak makanan dalam program tersebut.

“Aktiviti jenayah dan kes penipuan yang semakin licik dan sukar dijangka memerlukan kita bersatu hati dan mengambil langkah pencegahan untuk melindungi keluarga serta kejiranan kita.

“Ilmu yang diperoleh juga membantu kita untuk berwaspada terhadap jenayah selain memupuk kerjasama yang lebih erat antara komuniti dan pihak berkuasa,” ujarnya yang turut hadir merasmikan majlis.

Turut berlangsung demonstrasi jenayah ragut yang dibawakan oleh IPD Bagan Datuk dan rondaan bersama penduduk dengan pihak polis di sekitar Taman Bagan Pasir.

-ZS-

Tinggalkan komen anda