
Laporan/foto: Noor Shameiza Abd Razak (Kota Setar)
ALOR SETAR, 5 NOV (Malaysiaaktif) – Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Perak, telah berjaya menjuarai Festival Tari Malaysia Zon Utara 2024 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang telah melabuhkan tirainya kelmarin.
Sebanyak tujuh kumpulan telah berentap untuk merebut gelaran Juara Zon Utara dan melayakkan pemenang ke Peringkat Kebangsaan pada tahun hadapan.

Antara tarian yang dipersembahkan sempena Festival Tari Zon Utara 2024.
UPSI Perak menjuarai bersama empat kategori yang dipertandingkan iaitu Penari Lelaki Berkumpulan, Penari Wanita Berkumpulan, Anugerah Koreografer Tarian Kreatif dan Anugerah Koreografer Rampaian Tradisonal yang melayakkan kumpulan ini membawa pulang wang tunai keseluruhan berjumlah RM5,100 beserta trofi dan hadiah iringan.
Tempat kedua disandang Kumpulan Digantari dari UiTM Merbok dan tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Izenka Dance dari Pulau Pinang.
Masing-masing membawa pulang wang tunai beserta trofi dan hadiah iringan.
Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kedah Sabarina Masadi, apa yang menjadikan Festival Tari Zon Utara ini menarik adalah bagaimana olahan setiap koreografi dengan mengupas identiti tarian berdasarkan pada cerita rakyat setempat serta lagendanya.
“Setiap yang terlibat akan bertanding untuk kedua-dua malam. Contohnya Kumpulan A dikehendaki untuk mempersembahkan Tarian Rampaian Tradisional Malaysia. Manakala Kumpulan B pula dikehendaki untuk menampilkan Tarian Kreatif Malaysia. Keesokkannya tukar pula, Kumpulan A Tarian Kreatif Malaysia dan Kumpulan B Tarian Rampaian Tradisional Malaysia.
“Jika dilihat dari segi keseluruhan aktiviti, boleh saya katakan sangat menarik kerana persembahan yang ditonjolkan adalah elemen pelbagai kaum termasuk tarian suku kaum Sabah dan Sarawak.

Pementasan Teater Mek Mulung dipertontonkan kepada pengunjung sempena Festival Tari Zon Utara 2024.
“Gabungan dari visual serta pencahayaan yang digunakan juga menjadikan tarian yang dipersembahkan ini telah menimbulkan unsur kekaguman kepada juri dan juga penonton. Sama juga dengan penggunaan prop serta pemilihan busana yang menjadikan koreografi itu lebih menarik” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Tari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI Ealbie Breandent Abinus, 33, berkata kemenangan ini memberi kebanggaan kepada mereka semua yang telah bertungkus lumus membuat persediaan sejak awal tahun ini.
“Kami juga ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada pengurusan UPSI yang telah banyak membantu dalam kejayaan ini dan juga kepada JKKN kerana telah menganjurkan program yang berjaya mencungkil bakat dalam bidang seni tari dan budaya,” katanya.
Festival Tari Zon Utara telah berlangsung selama dua hari bermula 2 hingga 3 November lalu di Perkarangan Kompleks JKKN Kedah juga menyaksikan pelbagai aktiviti lain seperti Pementasan Teater Mek Mulung, Jualan Pasar Orang Lama, penghibur jalanan dan lain-lain lagi.
-ZS-