Laporan/foto: Siti Noor Ain Mohd Zain/Noor Suraya Zainal
GEORGE TOWN, 5 Nov (Malaysiaaktif) – Penjawat awam di Pulau Pinang perlu sentiasa bersikap amanah dan tidak melengah-lengahkan tugas.
“Pentingnya integriti dalam setiap aspek pekerjaan, seiring dengan aspirasi Wawasan Penang 2030 yang mengutamakan kemakmuran, keadilan, dan keberdayaan rakyat,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Hj. Zulkifli Long.
Zulkifli berkata demikian di Majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Auditorium A, KOMTAR, di sini kelmarin.
Bertemakan ‘Penjawat Awam Aspirasi Wawasan Penang 2030’ dengan kehadiran lebih 300 penjawat awam daripada pelbagai unit dan cawangan di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pulau Pinang, amanat tersebut adalah yang pertama beliau sebagai SUK Negeri.
Salah seorang penjawat awam Ismahani, 36, berkata amanat ini adalah peringatan penting buat semua yang berkhidmat di bawah SUK Pulau Pinang.
“Sebagai penjawat awam, kami bukan sahaja membawa nama diri, tetapi juga imej jabatan. Oleh itu, kita harus bekerja dengan amanah dan tanggungjawab,” katanya.
Siti Solehah, 30, yang telah berkhidmat lebih 15 tahun dengan kerajaan negeri turut berkongsi pandangan bahawa amanat ini amat relevan.
“Amanat Datuk SUK perlu diterima baik demi komitmen kita dalam berkhidmat kepada masyarakat, bagi memastikan pentadbiran negeri terus maju dan mantap,” katanya.
Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Datuk Zabidah Safar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Abdul Kahar Abdullah.
-ZS-