
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di salah sebuah stesen minyak di sini semalam mendapat sambutan yang mengalakan apabila lebih daripada 30 orang hadir membawa minyak masak terpakai.

Noor Haslinda menerima wang hasil dari penjualan minyak masak terpakai.
Program sebulan sekali di salah sebuah Stesen Petronas di bandar Kangar merupakan usahasama Kementerian Perladangan dan Komuniti (KPK) dengan PETRONAS Dagangan Berhad bertujuan menerajui inisiatif untuk mempromosikan kitar semula minyak masak terpakai (UCO) dan mengembangkan potensi penghasilan biobahan api yang lestari menggunakan minyak masak terpakai bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG).
Suri rumah dari Kampung Tanjung Gelam Noor Haslinda Ahmad, 34, berkata program tersebut ternyata menjadi nilai tambah kepada beliau dan keluarga.
“Saya berniaga membuat kuih secara kecil-kecilan dan selalu menggunakan minyak masak, tetapi selama ini minyak masak yang telah dipakai untuk membuat kuih tersebut dibuang begitu sahaja.
“Tetapi dengan pengumpulan minyak masak terpakai ini saya boleh menjual kembali minyak masak terpakai tersebut dengan harga RM3.00 sekilogram (kg) dan saya mampu mendapat RM90.00 hasil penjualan sebanyak 30 kg minyak masak terpakai,” ujarnya.
Bagi Afiq Ahsan Muhamad, 30, dari Kampung Peladang pula, berkata ia adalah satu program yang sangat sihat dalam mendidik masyarakat dalam aspek kitar semula.

Salah seorang pengguna minyak masak terpakai menghantar minyak masak terpakai di Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai bertempat di salah stesen minyak di bandar Kangar.
“Selama ini selalunya bila selepas kita memasak, minyak tersebut dibuang ke tanah atau pun ke longkang rumah dan pastinya ia akan merosakan alam sekitar.
“Saya mengetahui program ini di media sosial SWCoprs Perlis dan turut sama membawa anak saya bagi bertujuan untuk mendidik mereka mengenai aspek kitar semula,” jelasnya.
Untuk rekod, KPK meletakkan sasaran 15,000 penyertaan dan pengumpulan 300,000 kg pada Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai tahun ini.
-ZS-