Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 100 pelajar anak-anak nelayan daripada lima Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) menerima bantuan kelengkapan persekolahan melalui Program MADANI Kembali ke Sekolah hasil kerjasama antara Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).
Bantuan ini melibatkan 70 pelajar sekolah rendah dan 30 pelajar sekolah menengah.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil, berkata program ini bertujuan untuk membantu anak-anak nelayan dengan menyediakan baucar untuk peralatan sekolah dan bantuan kewangan daripada Yayasan Nelayan Malaysia (Yanem).
“Inisiatif ini dijalankan sepanjang bulan Januari dan Februari tahun ini.
“Melalui kerjasama antara LKIM dan Petronas, kami berharap dapat meringankan beban keluarga nelayan yang terjejas pendapatan akibat musim Monsun Timur Laut,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Dewan Sri Naria, The Payang Scout Hotel, Teluk Ketapang, di sini hari ini.
Seorang penerima bantuan Hasrul Azli Abdullah, 50, yang menyara lima anak, empat daripadanya masih bersekolah, meluahkan rasa terima kasih di atas bantuan yang diterima.
“Musim Monsun yang tidak menentu menyukarkan kami untuk mencari rezeki menjadikan sumbangan ini sangat bermakna,” katanya.
Asmaliani Maruddin, 41, isteri kepada seorang nelayan dari Kampung Pagar Besi, Batu Rakit, turut menyampaikan rasa syukur terhadap bantuan yang disalurkan.
“Terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap golongan nelayan,” katanya.
-ZS-