
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Kejadian orang kurang upaya (OKU) dipukul di tapak jualan pasar tani di Chukai Kemaman, Terengganu pada Jumaat lalu harus dijadikan iktibar.

Program Jualan Madani Rahmah di Selayang Heights.
Dalam kejadian itu, seorang OKU mental dipukul selepas motosikal ditunggangnya dikatakan melanggar sebuah gerai jualan di pasar tani berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi.
Susulan itu pihak polis telah menahan tiga individu berusia 18 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari, berkata beliau yang menjaga portfolio kebajikan terpanggil untuk mengulas isu berkenaan.
Katanya, semua manusia di muka bumi tidak kira orang normal , OKU, orang susah atau senang berhak mendapat layanan penuh rahmah dan kasih sayang.
“Dia mungkin adalah seorang anak bagi seorang ibu atau dia adalah bapa kepada seorang anak dan juga ahli keluarga kepada yang lain.

Antara barangan yang dijual semasa Program Jualan Rahmah Madani di Selayang Heights hari ini.
“Bayangkan itu berlaku pada diri kita, ada ahli keluarga kita dibelasah sebegitu hanya kerana mungkin dia seorang OKU,” katanya ketika merasmikan Program Jualan Madani Rahmah di Selayang Heights, di sini hari ini.
Justeru katanya, kejadian itu harus dijadikan iktibar dengan bersama-sama bersifat rahmah sesama manusia.
Sementara itu , Anfaal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer berkata kerajaan Selangor akan meneruskan khidmat bakti mentadbir negeri dengan memulangkan manfaat kepada rakyat.
-ZS-