Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)
TAWAU, 9 Jan (MalaysiaAktif) – Kehadiran Murid Berkeperluan Khas (MBK) di setiap institusi pendidikan wajar dilihat sebagai inspirasi kepada warga sekolah di samping membentuk sebuah masyarakat yang inklusif dan berdaya saing.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Rina Jainal menegaskan bahawa anak-anak istimewa ini perlu diberi peluang dan layanan yang sama rata dengan pelajar lain kerana kehadiran mereka mampu memberikan nilai tambah kepada masyarakat.
Jelasnya, Program Pendidikan Khas bukan sekadar sebahagian daripada sistem pendidikan untuk kelompok MBK namun boleh menjadi simbol kekuatan dan kebanggaan warga sekolah menerusi setiap sumbangan daripada pelbagai bentuk dan bidang.
“Keberadaan MBK di sekolah menjadi peluang pembelajaran berharga kepada masyarakat untuk memahami dan menghargai keunikan insan istimewa dalam komuniti.
“Kejayaan anak-anak berkeperluan khas ini adalah hasil kerjasama yang baik antara pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti.
“Saya yakin bahawa anak-anak ini akan menjadi insan yang cemerlang pada masa hadapan dan saya optimis bahawa anak-anak ini dapat memberikan sesuatu kebaikan dan mampu menyumbang dengan cara mereka yang tersendiri, serta menjadi kebanggaan sekolah ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Hari Apresiasi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) ke-19 SMK Kuhara 2024-2025 di sini semalam.
Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.70 Kukusan, beliau menyatakan komitmen Kerajaan Negeri Sabah melalui inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk terus memperkasa sektor pendidikan termasuk pendidikan khas.
“Dalam Belanjawan Sabah 2025, kerajaan memperuntukkan RM127 juta untuk biasiswa, dermasiswa, dan bantuan pelajar, yang memberi manfaat kepada lebih 7,130 pelajar.
“Inisiatif lain seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Subsidi Tiket Penerbangan Graduan Rindu Sabah (SUBFLY) juga mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan modal insan,” jelasnya lanjut.
Untuk makluman, SMK Kuhara Tawau menempatkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) terbesar di daerah Tawau dengan jumlah 117 pelajar, termasuk 74 lelaki dan 24 perempuan dengan sokongan daripada 14 orang guru serta lima Pembantu Pengurusan Murid (PPM).
Majlis apresiasi tersebut dianjurkan bagi meraikan kejayaan pelajar-pelajar MBK di SMK Kuhara dalam pelbagai bidang, termasuk akademik, sahsiah, dan kokurikulum sepanjang sesi 2024/2025.
-RJ-