Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Marlin FA
LABUAN, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Kelab Bola Sepak Marlin FC berpuas hati walaupun meraih tempat ketiga dalam Karnival Bola Sepak Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Bawah 16 Tahun.
Menurut Presiden Marlin FC Ramlae Abd Rashid keputusan itu boleh dibanggakan kerana Marlin FC ‘A’ dibarisi pemain-pemain yang lebih muda.
“Satu pencapaian yang membanggakan kerana sebenarnya pasukan kami dibarisi pemain-pemain yang berumur 14 hingga 15 tahun sahaja berbanding pasukan lawan yang berumur 16 tahun.
“Tahniah juga kepada satu lagi pasukan iaitu Marlin FC ‘B’ yang turut menurunkan pemain berumur 13 tahun kerana telah memberi saingan yang cukup sengit walaupun hanya beraksi diperingkat kumpulan,” katanya semasa ditemui pada kejohanan itu di sini petang semalam.
Beliau turut berterima kasih kepada ibu bapa pemain dan penyumbang atas sumbangan dan sokongan yang diberikan tanda sokongan kepada Marlin FC.
“Sokongan yang kami terima amatlah penting kerana objektif penubuhan kelab ini adalah untuk memberi peluang dan ruang kepada anak-anak di peringkat akar umbi berlatih serta bermain bola sepak dengan cara yang betul.
“Selari dengan slogan Marlin FC iaitu ‘Trust The Process’, sasaran kami untuk tahun 2025 adalah untuk memperkemaskan lagi sistem latihan dan menyertai sekali gus memberi saingan pada setiap kejohanan yang disertai di dalam dan luar Labuan,” jelasnya.
-ZS-