
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)
TAWAU, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Sempena musim cuti sekolah, Komuniti Kampung Batu Payung dengan kerjasama Masjid Nurul Hidayah telah berjaya menganjurkan Program Khatan Perdana 2025.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata program seperti ini dapat memberi manfaat kepada ramai keluarga yang kurang mampu.

Nizam menyiram peserta khatan ketika gimik perasmian.
“Dengan penganjuran program seumpana ini, memberi peluang keluarga terlibat untuk tidak perlu lagi menanggung kos yang tinggi bagi mendapatkan khidmat khatan di klinik atau hospital.
“Selain itu, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada keluarga yang memerlukan, tetapi juga merapatkan silaturahim dan ukhwah antara pemimpin dan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Program Khatan Perdana 2025 di sini pada Sabtu.
Acara dimulakan dengan gimik perasmian berupa siraman air dari paip bomba yang dipimpin oleh Nizam, yang menandakan permulaan proses berkhatan.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah berkerjasama menjayakan program ini dan mencadangkan agar terus dilaksanakan pada masa akan datang.

Nizam ketika ditemu bual pemberita.
“Semoga Allah memberkati segala usaha kita dalam menjalankan amal kebaikan ini, baik sekiranya program seumpama ini dilaksanakan setiap tahun, terutamanya ketika musim cuti persekolahan, bagi memastikan lebih ramai yang dapat merasai manfaatnya,” ujarnya.
Untuk makluman, seramai 27 peserta, terdiri daripada kanak-kanak berumur sembilan tahun ke atas, telah terpilih untuk menyertai Program Khatan Perdana kali ini yang dikendalikan oleh petugas dari Klinik Kesihatan Kubota selain mendapat sokongan penuh daripada masyarakat setempat.
-ZS-