Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Rakyat Kelantan Terima Manfaat Rumah Mampu Milik

By 22 Januari 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

TANAH MERAH 22 Jan (MalaysiaAktif) – Program Perumahan Rakyat (PPR) yang dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 2002 bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki rumah sendiri, sejajar dengan perkembangan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hajjah Aiman Athirah Sabu, menegaskan Kerajaan Madani amat komited dalam menyediakan pelbagai insentif untuk memenuhi keperluan rakyat terutamanya golongan sasaran.

Aiman Athirah menyampaikan surat tawaran kepada penerima PPR.

“Program PPR bertujuan meningkatkan keupayaan rakyat untuk memiliki rumah dan rumah mampu milik merupakan strategi utama kerajaan untuk menangani isu kos sara hidup yang semakin meningkat, selain memastikan kesejahteraan mental, fizikal dan emosi rakyat terus terjamin.

“Setiap PPR dilengkapi dengan kemudahan awam termasuk taman rekreasi yang berkualiti dan sesuai dengan pertambahan penduduk demi menjaga kesejahteraan komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran PPR Gual Ipoh,  di sini kelmarin..

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Cawangan PPR, Bahagian Pengurusan dan Perumahan, Jabatan Perumahan Negara KPKT Haslinda Md. Latif, berkata seramai 104 penerima telah menerima surat tawaran bagi Fasa Pertama PPR Gual Ipoh daripada 400 unit yang disediakan dan Fasa Kedua dijangka akan dilaksanakan hujung tahun ini.

“PPR diteruskan sebagai usaha untuk menyediakan rumah awam kepada golongan B40 melalui skim sewa untuk beli (Rent-to-Own) (RTO) dan masyarakat di Kelantan amat bertuah dengan adanya PPR ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa antara syarat utama untuk memohon PPR adalah warganegara Kelantan, berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah, berumur 18 tahun ke atas dan memenuhi syarat-syarat tambahan yang ditetapkan.

Fatimah menerima surat tawaran dan kunci rumah yang disampaikan Aiman Athirah.

“Bayaran sewa bulanan bagi rumah PPR adalah sekitar RM237 hingga RM250 selama 20 tahun, dengan harga rumah yang ditawarkan hanya RM40,000 berbanding harga pasaran sebenar antara RM195,000 hingga RM250,000,” katanya.

Salah seorang penerima, Fatimah Ibrahim, 53, dari Kampung Alor Tapah, Bukit Gading, di sini meluahkan rasa terkejut dan gembira apabila menerima panggilan telefon daripada KPKT yang memaklumkan bahawa permohonannya untuk PPR Gual Ipoh berjaya.

“Saya tidak sangka permohonan saya diterima dan impian saya akhirnya menjadi kenyataan kalau sebelum ini, saya dan keluarga tinggal di rumah pusaka yang hanya menggunakan kayu dan atap zink, kini saya dapat tinggal di rumah batu dengan lebih selesa,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, para penerima turut berpeluang melihat rumah contoh PPR Gual Ipoh, walaupun rumah tersebut belum boleh diduduki kerana proses pengundian akan diadakan pada 13 Februari depan di Machang.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama Dr. Hafidzah Mustakim, Ketua Jajahan Tanah Merah Ahmad Adlee Yasin, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, pemimpin-pemimpin masyarakat serta para penerima surat tawaran PPR.

-ZS-

Tinggalkan komen anda