
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Tawau)
TAWAU, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Seni silat kini dilihat sebagai salah satu wadah penting untuk memelihara keharmonian sosial dan mempromosi keindahan ajaran Islam di negeri Sabah.

Nizam ketika menyempurnakan gimik perasmian Majlis Apresiasi Anugerah dan Makan Malam Kecemerlangan Peringkat Negeri Sabah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan, berkata seni silat bukan sahaja sebagai seni mempertahankan diri, tetapi juga berperanan dalam menyebarkan syiar Islam.
Menurutnya, usaha untuk mengembangkan ilmu seni silat bukan sahaja dapat membentuk sahsiah diri tetapi turut memperkukuh ikatan persaudaraan dalam kalangan masyarakat.
“Seni silat dapat merapatkan ukhuwah dan silaturahim dalam masa yang sama merupakan medium yang berkesan untuk menyebarkan nilai-nilai Islam kepada masyarakat.
“Silat bukan hanya tentang kekuatan fizikal, tetapi lebih penting lagi dalam memupuk perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat. Kita harus menanamkan semangat kekeluargaan dan persaudaraan sesama umat Islam,” katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Anugerah dan Makan Malam Kecemerlangan Peringkat Negeri Sabah, di sini pada Selasa.

Nizam menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima sebagai tanda penghargaan atas pencapaiannya.
Majlis anjuran Pertubuhan Seni Silat Gayong Panji Alam Malaysia itu diadakan untuk mengiktiraf kejayaan pesilat dan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan pengamal seni silat di Sabah.
Turut hadir Waris Amanah Seni Silat Gayong dan Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Gayong Panji Alam Malaysia Dr. Abdul Razak Hasan serta pesilat dari seluruh negeri Sabah.
-ZS-