Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Fahmi Fadzil Lancar Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian

By 22 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norfadzlina Ahmad Fadzli

KOTA BHARU, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Buat julung kalinya Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini semalam.

Menurut Fahmi Fadzil, jenayah siber kini semakin berleluasa seperti aktiviti judi dalam talian, yang menjadi pintu masuk kepada jenayah lebih besar seperti pemerdagangan manusia.

Fahmi Fadzil ketika menyampaikan ucapan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan siri jelajah keselamatan dalam talian ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian dan diharap dapat membantu mengelakkan pengguna daripada terjerumus menjadi mangsa penipuan dan jenayah siber.

Pengarah MCMC Negeri Kelantan Hairudin Mohamed Zin, berkata keselamatan dalam talian adalah aspek yang sangat penting dalam dunia digital untuk melindungi privasi, maklumat peribadi, serta mencegah serangan siber dan penipuan.

“Program Jelajah Keselamatan Dalam Talian ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan umur dan akan diperluas ke seluruh negara bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

“Selain menyokong penguatkuasaan pelaksanaan pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial, pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta pengenalan perundangan baharu melalui Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA),” katanya.

Penolong Pegawai Perpaduan Unit Tadika Fadillah Hassan, 59, menyatakan bahawa program ini memberi banyak manfaat kepada penjawat awam, terutama yang berusia dan hampir bersara.

“Saya berharap agar program ini dapat diperluas kepada masyarakat kampung, khususnya di kawasan pedalaman,” katanya.

Salsabilla berharap agar masyarakat akan lebih berwaspada dalam menjaga data peribadi. 

Seorang pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda dalam Hospitaliti dan Keusahawanan UMK Salsabilla Wan Mohd Faizul, 23, berkata program seperti ini sangat penting untuk mahasiswa kerana golongan ini terdedah kepada pelbagai aktiviti di dalam talian.

“Melalui kempen keselamatan dalam talian, kita akan lebih berwaspada dalam menjaga data peribadi kita,” ujarnya.

Pada majlis sama Fahmi Fadzil turut menyampaikan 25 unit komputer riba kepada mahasiswa yang terkesan akibat banjir, sebagai salah satu inisiatif membantu golongan yang memerlukan.

Turut hadir Ahli Parlimen Kota Lama Dr. Hafidzah Mustakim, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UMK Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri, MCMC Bukhari Yahya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda