Laporan/foto: Mohammad Rasuli/Arul Perumal (Bagan Datuk)
HUTAN MELINTANG, 10 Jan (Malaysiaaktif) – Program Ponggal MADANI 2025 yang diadakan di Dewan Serbaguna Dato Haji Abdullah Ahmad, di sini pada Rabu meriah dengan kehadiran pelbagai kaum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang Wasanthee Sinnasamy, berkata Ponggal merupakan perayaan menuai yang disambut selama empat hari pada bulan Thai dalam kalendar kaum India.
“Ia diadakan selepas berakhirnya musim menuai sebagai tanda terima kasih kepada Dewa Matahari (Suryabagawan) dan ternakan ladang yang membantu menghasilkan kekayaan,” ujarnya ketika berucap merasmikan program.
Sementara itu, Pegawai Khas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Jonathan Vela, menzahirkan ucapan tahniah kepada Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hutan Melintang atas usaha penganjuran program tersebut.
“Program ini berjaya menyatukan perpaduan antara kaum serta melahirkan semangat Malaysia MADANI yang kita junjung.
“Melaluinya juga kita diberi ruang untuk saling memahami budaya antara satu sama lain di samping mengukuhkan lagi semangat perpaduan,” katanya yang hadir mewakili Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.
Pelbagai aktiviti diadakan sempena program ini antaranya pertandingan melukis kolum, penyalaan Kuthu Vilakku dan sumbangan set pongal.
Paling menarik, peserta turut disajikan dengan persembahan nyanyian dan tarian tradisional masyarakat India.
-ZS-