
Laporan/foto: Nadia Abdullah/Abassalimi (Kluang)
KLUANG, 29 Januari (MalaysiaAktif) – Program Simulasi Pengurusan Bencana Berasaskan Komuniti Daerah Kluang berjaya dilaksanakan, semalam dengan melibatkan penyertaan aktif pelbagai agensi dan komuniti setempat bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana, khususnya banjir, melalui latihan dan pendedahan kepada prosedur kecemasan.

Pegawai JKM memastikan agihan kit banjir kepada mangsa banjir adalah lengkap
Pegawai Daerah Kluang, Azurawati Wahid, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program tersebut.
“Program seperti ini sangat penting dalam memperkukuhkan keselamatan dan memastikan kelancaran operasi bencana, selain menekankan pentingnya simulasi untuk memastikan koordinasi yang lebih mantap antara agensi terlibat serta meningkatkan persediaan komuniti dalam menghadapi situasi sebenar.
“Kerjasama erat antara komuniti dan agensi kerajaan menjadi kunci utama menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Simulasi Menyusuri Sungai Kahang untuk ke Kampung Orang Asli yang terputus hubungan semasa banjir
Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada jabatan dan agensi yang terlibat sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka dalam menjayakan program ini.
Program dimulakan di Jeti Sungai Kahang, dengan pelbagai aktiviti seperti penghantaran 60 unit bakul makanan NADMA, simulasi operasi menyelamat pemancing terkandas, simbolik penyerahan bantuan kepada komuniti Kampung Orang Asli Sedohok serta pemeriksaan kesihatan turut diadakan bagi penduduk tempatan.
Simulasi pemindahan 50 mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dijalankan di Dewan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) Kahang dan peserta program diberi pengalaman langsung dalam aspek pengurusan pendaftaran mangsa, penyelarasan logistik dan memastikan kebajikan mangsa di PPS.
Program ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada daerah lain dalam melaksanakan latihan kesiapsiagaan bencana yang menyeluruh dan inklusif, sekaligus mengukuhkan ketahanan komuniti terhadap ancaman bencana di masa hadapan.
-AA-