
Laporan/foto: Malini Md Yunos (Rembau)/Mariawaty Mohd Din (JPNIN)
REMBAU, 3 Jan (Malaysiaaktif) – Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang ditubuhkan sejak 21 tahun lalu iaitu pada Februari 2004 bertujuan membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional (JPNIN) Negeri Sembilan Syahilawani Noordin, berkata SRS merupakan anggota sukarela yang melaksanakan rondaan dalam komuniti.
“SRS bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk memastikan apa sahaja isu kawasan sama ada sebelum terjadi atau telah terjadi untuk mereka laporkan dengan kadar segera kepada agensi keselamatan terlibat serta mementingksn aspek keselamatan ditangani dengan cekap dan cepat,” katanya di Program Jom Ronda Bersepadu RT Progresif KRT Taman Pinggiran Pedas, di sini kelmarin.

Syahilawani (empat dari kiri) bersama anggota RT Progresif KRT Taman Pinggiran Pedas.
Menurutnya, Pejabat Perpaduan Daerah Rembau melalui RT Progresif KRT Taman Pinggiran Pedas sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Antidadah Kebangsaan bagi melaksanakan program Jom Ronda Bersepadu dengan mengaktifkan rondaan secara sukarela dalam kawasan komuniti tersebut.
Pada program tersebut turut diadakan penyerahan sebuah kabin kepada RT Progresif Taman Pinngiran Pedas bernilai RM30,000 melalui peruntukan JPNIN Negeri Sembilan termasuk kos RM6,500 untuk set lengkap peralatan rondaan seperti vest, rotan, lampu suluh dan lain-lain untuk kegunaan anggota SRS semasa rondaan.
Menurut Ketua RT Progresif KRT Taman Pinggiran Pedas Waled Hasan, 60, pihaknya amat berterima kasih kepada Pejabat Perpaduan Rembau, rakan strategik agensi keselamatan, penduduk taman yang menjadi ahli SRS dan jawatankuasa RT bersama-sama memantau keselamatan komuniti secara berterusan.
“Syukur kerana RT juga menerima sebuah kabin baru dan set lengkap peralatan rondaan sebagai amanah, dorongan dan tanggungjawab melaksanakan kerja secara sukarela ini.
“Diharapkan SRS ini menjadi contoh kepada RT dan SRS dalam daerah Rembau bagi menggiatkan usaha menarik lebih ramai ahli masyarakat menggerakkan kerja-kerja kesukarelawanan terutama bidang keselamatan,” katanya.
-ZS-