Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

JER Madani Pertama di Sungai Choh jadi Tumpuan

By 9 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Amir Rithauddin (Hulu Selangor)

BATANG KALI, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Madani pertama kali di Pusat Perniagaan Seri Pagi, Sungai Choh, di sini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.

Produk dari fruit valley seperti buah-buahan dan sayuran segar turut dijual di JER Sungai Choh.

Program anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) ini diadakan dengan kerjasama Pejabat Penyelaras DUN Batang Kali dan Jawatankuasa Kampung Sungai Choh Simpang dihadiri lebih 300 penduduk setempat sejak awal pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Choh Simpang Nur Azmel Yahya, meluahkan rasa gembiranya terhadap sambutan hangat yang diterima.

“Ini merupakan penganjuran JER yang pertama di kawasan ini dan kami sangat bersyukur atas sambutan luar biasa dari penduduk.

“Harga yang ditawarkan sangat berpatutan, memberikan peluang kepada masyarakat pelbagai kaum untuk mendapatkan barangan keperluan harian, terutama musim cuti sekolah,” ujarnya.

Seawal pukul 9 .00 pagi, pengunjung berbaris untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga yang sangat berpatutan.

Pelbagai kaum turut hadir mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan.

Selain barangan dari PKPS, terdapat juga produk dari Gardenia, Fruit Valley serta pengusaha tempatan turut memeriahkan lokasi JER, di sini semalam.

Antara yang paling laris adalah beras, minyak masak, telur ayam, ayam segar, dan ikan kembung, menjadikan suasana jualan semakin meriah.

Penduduk setempat melahirkan rasa syukur terhadap inisiatif ini yang bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan mereka malah memupuk semangat keprihatinan dalam masyarakat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda