
Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)/Politeknik Sultan Azlan Shah
BEHRANG, 10 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 1,132 graduan yang terdiri daripada 1,105 penerima di peringkat diploma manakala 27 penerima lagi adalah di peringkat Ijazah Sarjana Muda telah diraikan di Istiadat Konvokesyen Politeknik Sultan Azlan Shah ke-21 di Dewan Muallim, Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) di sini, berakhir semalam.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Reka Bentuk Automotif) Muhammad Hafifi Muhd Halin, menerima Anugerah Pengarah sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik Sultan Azlan Shah Ke-21
Istiadat ini telah bermula dari 9 Februari yang telah disempurnakan oleh empat tetamu kehormat daripada pihak industri iaitu Chief Executive Officer Byond Tech Global Berhad Al Malik Hassan Hairuddin, Head Malaysian Railway Academy Keretapi Tanah Melayu Berhad Jamil Nan, Pengarah Urusan Malaysia’s Leading Modest Fashion and Lifestyle Brand (MINAZ) Group Hafiza Datuk Abd Hamid dan Pengarah Camelia Maju Resources Muhammad Syazwan Abd Halim.

Antara graduan Kejuruteraan Mekanikal PSAS yang diraikan bagi Sidang 1 sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik Sultan Azlan Shah Ke-21
Menurut kenyatan PSAS, Anugerah Pengarah telah dianugerahkan kepada tiga graduan iaitu Pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (REKA Bentuk Automotif) dengan Kepujian Muhammad Hafifi Muhd Halin, Pemegang Diploma Pengajian Perniagaan Naggasre Ganeswaran dan Pemegang Diploma Kejuruteraan Elektrik Mohamed Nabil Nazreen Mohamed Nasir.
“Sehingga tahun 2024, Kajian Pengesanan Graduan PSAS mencatatkan peningkatan kepada 99.4% berbanding tahun sebelumnya, berjaya mendapatkan pekerjaan.
“Indikator ini juga menunjukkan bahawa latihan serta intipati akademik yang diketengahkan oleh PSAS adalah relevan dengan permintaan pasaran pekerjaan semasa,” ujar PSAS.
Aktiviti menarik turut diadakan seperti pertandingan mewarna, pertandingan nyanyian, Bual Bicara Alumni, persembahan Pencak Silat, pertandingan bercerita serta Green Walk.
-AA-