
Laporan/foto: Muhammad Azrul Hafiz/Muhaimin Musa (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Persatuan Silat Kebangsaan Kuala Lumpur (PESAKA KL) telah mengadakan Kejohanan Pra SUKMA Peringkat Wilayah Persekutuan di Arena Badminton Bandar Tun Razak.

Persembahan pembukaan semasa majlis perasmian kejohanan
Kejohanan ini berlangsung bermula 31 Januari hingga 2 Februari dan pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang tiga hari kejohonan ini diadakan.
Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik Perdana Menteri merangkap Yang Di Pertua PESAKA KL dalam ucapan perasmiannya, berkata silat merupakan seni budaya kita dan apa yang diinginkan bahawa suatu hari nanti silat ini akan dapat bersaing atau menjadi suatu pertandingan yang dikenali di peringkat antarabangsa yang boleh menggantikan Muay Thai.

Datuk Azman bergambar bersama tetamu dan pasukan silat yang bertanding di kejohanan tersebut
Menurut Sudirman Arifin, Setiausaha Agong PESAKA KL, Kejohanan Pra SUKMA Peringkat Wilayah Persekutuan khususnya menjadi medan uji tanding untuk adik-adik yang ada di hadapan ini sebelum kita melangkah ke satu proses lagi dimana kita panggil pemilihan Wilayah Persekutuan.
Tambah Sudirman, terdapat 45 pasukan yang disertai seramai 348 peserta akan bertanding dalam kejohanan kali ini.
“Di bawah gabungan PESAKA KL terdapat 32 persatuan dan terdapat peningkatan sebelum ini jika kita buat pemilihan yang hadir hanya 70 ke 80 orang, itupun daripada Sekolah Sukan Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun, bermula tahun lepas waktu pemilihan kategori remaja mendapat penyertaan yang terlalu ramai sehinggakan ia terpaksa dilanjutkan kepada dua hari dan ditambah satu lagi venue kejohanan bagi menampung penyertaan yang amat menggalakkan,” katanya.
“Ini menandakan silat semakin popular di Kuala Lumpur. Jadi suburnya silat, kita telah buktikan, wujudnya di hutan konkrit bukan hanya di kampung-kampung sahaja,” ujarnya.
-AA-