
Laporan/foto: Amirul Muzamil (Segamat)
SEGAMAT, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Ibu bapa kepada 200 pelajar di kawasan DUN Pemanis menyambut baik inisiatif program Bantuan Kasih Murid Johor yang memberi bantuan kepada anak-anak mereka.
Program ini bertujuan untuk membantu murid daripada keluarga kurang berkemampuan dengan memperuntukkan dana sebanyak RM6.4 juta yang akan memanfaatkan lebih 10,000 murid di seluruh negeri Johor.

Penerima Anugerah Kecemerlangan SPM Tahun 2023.
Setiap pelajar menerima sebuah beg, wang tunai, serta baucar untuk membeli barangan keperluan persekolahan.
Program yang diadakan di Dewan Serbaguna Pekan Jabi telah disempunakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis Anuar Manap.
Dalam ucapannya, Anuar mengingatkan ibu bapa agar memastikan borang bantuan yang diberikan oleh guru-guru sekolah diisi dan dihantar semula.
“Kami tidak mahu ada murid yang tercicir daripada mendapatkan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Johor,” ujarnya.
Ng Jia Yee, 35, ibu kepada salah seorang penerima bantuan dari Kampung Tengah, meluahkan rasa terima kasihnya kepada Kerajaan Negeri Johor.

Salah seorang penerima Bantuan Kasih Murid Johor Tahun 2025.
“Saya amat berterima kasih kerana bantuan ini meringankan beban kami yang kurang berkemampuan.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.
Selain bantuan kepada pelajar, program ini juga memberi penghargaan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Darjah Khas Tahun 2023.
Mereka telah menerima sijil penghargaan serta wang sagu hati sebagai motivasi untuk terus berjaya pada masa hadapan.
-ZS-