Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

YKN Perkukuh Sokongan Komuniti dengan Pusat Sokongan Sosial Setempat

By 4 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Kasmini Hasbi/Lydia Humphery Tungkat (Sarawak)

KUCHING, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melancarkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bagi memperkukuh sokongan komuniti dengan tema ‘Penghubung Solusi Permasalahan Anda’, Pusat ini menyediakan bimbingan, kaunseling serta pusat transit sementara bagi individu memerlukan, termasuk mangsa keganasan rumah tangga.

Menurut Eksekutif (Kaunselor) YKN, Siti Nur Afiqah Abdullah, 27 tahun, PSSS turut menawarkan kaunseling bergerak melalui booth, trak, dan bas, membolehkan individu mendapatkan penilaian awal terhadap masalah tekanan emosi seperti stres, depresi, dan kebimbangan dan Art Therapy turut digunakan bagi menilai emosi kanak-kanak.

Afiqah berpendapat, kesedaran mengenai kesihatan mental masih rendah dalam kalangan masyarakat.

“Di pusat transit, kami membantu mereka yang berada dalam situasi sukar, memberikan ruang selamat untuk berkongsi masalah dan mendapatkan sokongan emosi sebelum dirujuk kepada jabatan atau agensi kerajaan berkaitan,” jelas beliau.

Kesedaran masyarakat terhadap kesihatan mental masih rendah, ditambah dengan stigma terhadap kaunseling dan bagi pesakit kanser, sokongan emosi amat penting kerana mereka sering menyembunyikan keadaan kesihatan mereka.

“Mereka memerlukan sokongan moral yang kuat, terutama apabila mereka menyembunyikan keadaan kesihatan mereka daripada keluarga dan masyarakat,” tambah beliau lagi.

Afiqah ketika ditemu bual oleh wartawan Malaysia Aktif di Reruai Program Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2025 Peringkat Sarawak.

Selain itu, YKN turut menyediakan penginapan sementara melalui Anjung Kasih untuk keluarga pesakit hospital kerajaan dan Anjung Singgah bagi membantu golongan gelandangan.

“Di Sarawak, satu-satunya Pusat Anjung Singgah terletak di Jalan Rubber manakala Pusat Anjung Kasih yang diuruskan oleh hospital kerajaan terletak di Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri dan Hospital Sibu,” jelas Afiqah.

Dengan pelbagai inisiatif ini, YKN berusaha memastikan perkhidmatan sokongan lebih mudah diakses melalui aplikasi MyPSSS. Siti Nur Afiqah menegaskan kepentingan untuk tidak berputus asa dalam menghadapi tekanan dan sentiasa mencari sokongan.

 

-RJ-

Tinggalkan komen anda