
Laporan/foto: Ismalia Hasimi (Sarawak)
KUCHING, 4 Feb ( MalaysiaAktif) – Pickleball, mungkin tidak semua yang mengetahui mengenai sukan ini. Pickleball merupakan sukan raket yang sedang viral dan mendapat perhatian penggemar sukan di Malaysia.
Permainan ini dimainkan di atas gelanggang yang mirip dengan gelanggang badminton, tetapi dengan jaring yang lebih rendah. Pemain menggunakan kayu paddle dan bola plastik berlubang dan sukan ini dimain secara perseorangan dan juga beregu.

Kayu paddle untulk yang digunakan untuk bermain sukan Pickleball.
Sukan Pickleball dicipta pada tahun 1965 di Amerika Syarikat dan telah berkembang menjadi sukan antarabangsa.
Walaupun sudah lama diperkenalkan di Amerika Syarikat, sukan ini pantas berkembang di negara lain termasuk Malaysia kerana kelebihan sukan itu sendiri.
Antaranya ialah ia sesuai untuk pemula, melibatkan pergerakan yang lebih ringan berbanding tenis, skuasy atau badminton, mudah untuk dipelajari dan peraturan lebih ringkas selain sukan ini juga lebih kasual dan sesuai untuk semua peringkat usia.
Menurut Mohd Shafiq Mus, 36 tahun, yang merupakan seorang guru, beliau mula mendapat tahu mengenai sukan ini melalui rakan sekerja yang mengajak beliau untuk menjadi rakan beregu.

Gelanggang sekolah yang telah diubah suai untuk dijadikan gelanggang sukan Pickleball.
“Saya berpendapat ianya merupakan sukan yang mudah dan santai terutama bagi mereka yang baru mula berjinak dalam sukan tersebut selain mudah disesuaikan untuk dimainkan di gelanggang sekolah dengan cara mengubah gelanggang tersebut mengikut spesifikasi sukan Pickleball itu sendiri,” ujarnya ditemui semalam.
Selangor dilaporkan telah berhasrat untuk menjadi negeri pertama yang menganjurkan sukan pickleball di dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 nanti.
-RJ-