
Laporan/foto: Julia Chua / Joseph Laga (Sarawak)
SONG (KAPIT), 4 Feb (MalaysiaAktif) – Siapa sangka dengan menjual dan membakar lemang sebanyak 30-40 batang sehari mampu menjana pendapatan sekitar RM3000 pada setiap satu musim perayaan.
Bagi Pengusaha lemang tempatan, Mastura Pon, 44 tahun, beliau tidak menang tangan menyiapkan tempahan lemang setiap kali tiba musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Gawai, Hari Raya Aidifitri dan Hari Krismas.

Matura membakar lemang di hadapan rumahnya.
Beliau yang lebih mesra disapa sebagai Kak Mas, berkata ia bermula dengan minat mendalam bidang masakan dan telah mula berniaga lemang sejak tahun 2018 untuk menambah pendapatan keluarga.
“Permintaan yang tinggi ketika musim perayaan merupakan peluang yang tidak harus dilepaskan,” katanya ketika ditemui semalam.
Selain lemang Mastura turut menjual pulut panggang serta aneka kuih muih bagi pelanggan yang ingin membuat tempahan. Menurut Kak Mas lagi, mendapatkan bekalan buluh dalam hutan berdekatan merupakan satu cabaran dalam perniagaanya.

Mastura mendapatkan bekalan buluh di hutan berhampiran.
“Buluh merupakan bahan utama yang digunakan dalam menghasilkan lemang bagi mendapatkan aroma yang wangi dan sedap namun kerja-kerja mencari, memotong dan membersihkan buluh bukanlah perkara yang mudah ianya memerlukan kemahiran bagi mengelak buluh tersebut pecah,” katanya.
Katanya lagi, cabaran lain ialah kekurangan bekalan bahan untuk membakar lemang seperti kayu dan tempurung kelapa juga merupakan masalah utama yang saya hadapi bagi memenuhi tempahan pelanggan.
-RJ-