
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Denis Etem (Sarawak)
BAU, 11 Mac (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI Kampung Skiat Baru mengambil pendekatan sentiasa berwaspada bukan sahaja berkaitan scammer (penipu) dan keselamatan dalam talian malahan merangkumi berita palsu supaya komuniti di kampungnya tidak terpedaya sehingga boleh memberi kesan negatif dan merugikan diri, keluarga dan komuniti jika tidak ditangani dengan bijak dan betul.

Barin menyatakan komitmen pihaknya menjayakan program JAPEN Bau bersama Komuniti MADANI Kampung Skiat Baru.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Skiat Baru, Barin Niyat, 53, berkata ahli-ahlinya sentiasa diingatkan berkaitan perkara tersebut ketika kunjungan beliau di Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Bau, di sini semalam.
“Kami Komuniti MADANI Kampung Skiat Baru sentiasa peka dan berwaspada dalam hal ini dan antara langkah yang kami ambil ialah menyemak dahulu siapa penulisnya, apa agenda penulis dan adakah ianya berdasarkan fakta,” katanya.

Barin menyatakan Komuniti MADANI Kampung Skiat Baru sentiasa waspada dengan berita palsu di media sosial.
Tambah Barin, ahli komuniti juga telah didedahkan dengan penggunaan Chatbot kecerdasan buatan (AI) AIFA atau Artificial Intelligence Fact-check Assistant yang dikendalikan oleh JAPEN Bau sebelum ini.
Katanya lagi, komunitinya sentiasa komited memberi kerjasama dan bersedia untuk menjayakan program JAPEN Daerah Bau sebagai usaha memperkasa komuniti MADANI dengan maklumat yang sahih, tepat dan terkini.
-RJ-