Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Jalur Gemilang Berkibar Megah, KMJG 2025 Semarak Patriotisme di Pintu Gerbang Terengganu

By 12 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Amiruddin Adli/Zaharudin Ismail

BESUT, 12 Ogos (MalaysiaAktif) – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 membuka tirai perjalanan di Terengganu, kelmarin dengan Jalur Gemilang berkibar megah dan sambutan penuh warna-warni di Kuala Besut selepas memasuki negeri ini melalui Kampung Pachakan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah 2, Machang, Kelantan.

Konvoi KMJG 2025 Negeri Terengganu merentasi jalan utama sambil mengimarahkan semangat patriotisme di bandar Besut.

Hentian pertama kembara iaitu di Dewan Terbuka Muara diserikan alunan selawat oleh 68 pelajar tahfiz, diikuti penyampaian sumbangan oleh Yayasan Pendidikan MAIDAM kepada penerima terpilih.

Acara kemuncak menyaksikan Ketua Konvoi KMJG Terengganu Sait Yaman, menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil Komuniti MADANI serta agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Pejabat Daerah Besut sebagai simbol penyatuan rakyat dan semangat patriotisme yang tidak pernah pudar.

“Kembara ini bukan sekadar membawa Jalur Gemilang, tetapi usaha menyemarakkan semangat patriotisme, mengukuhkan perpaduan, dan memastikan panji negara terus berkibar di setiap pelusuk negeri,” katanya yang juga Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) negeri Terengganu.

Seramai 68 pelajar tahfiz beralun selawat menyambut ketibaan Konvoi KMJG 2025 di Kuala Besut.

KMJG 2025 merupakan sebahagian daripada sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2025 yang mengajak seluruh rakyat mengibarkan bendera sebagai tanda cinta pada tanah air.

Perjalanan konvoi akan diteruskan pada 12 Ogos ke hentian kedua iaitu di McDonald’s Batu Burok, Kuala Terengganu, dan hentian ketiga di FELDA Neram 1, Kemaman, sebelum menuju ke negeri Pahang.

-RI

Tinggalkan komen anda