Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

Konvoi Roda Merdeka Semarak Patriotisme, Kempen ‘Tak Nak Buli’ di Batu Pahat

By 21 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 21 Ogos (MalaysiaAktif) – Konvoi Roda Merdeka Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Batu Pahat 2025 turut membawa mesej kempen ‘Tak Nak Buli’ bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid.

Ahmad Nazri selaku ketua konvoi turut menyebarkan mesej ‘Tak Nak Buli’ dalam ucapannya di setiap sekolah

Menurut Pegawai Daerah Batu Pahat Mohd Farid Kasim, program berkenaan bukan sahaja bertujuan memupuk semangat cintakan negara, malah menyahut seruan kerajaan untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan melalui pengibaran Jalur Gemilang di premis perniagaan, kediaman serta bangunan kerajaan.

“Selain itu, konvoi ini juga menyampaikan mesej penting mengenai usaha menolak gejala buli yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Seramai lebih 120 kakitangan awam peringkat negeri dan persekutuan menyertai konvoi yang berlangsung di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Yong Peng, semalam.

Nyanyian dan kibaran Jalur Gemilang oleh pelajar.

Konvoi yang diketuai Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) Ahmad Nazri Rebu, bermula dari perkarangan MDYP sebelum singgah ke beberapa sekolah rendah untuk menyerahkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM).

Antara sekolah dan institusi yang terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lam Lee, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Yong Peng, Sekolah Kebangsan (SK) Ayer Hitam, Tabika KEMAS PEKA Taman Sri Raja, SK Sri Teluk dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Sejagong.

Konvoi disambut meriah oleh warga sekolah dengan pelbagai persembahan tarian budaya, nyanyian lagu patriotik, kibaran Jalur Gemilang serta laungan ‘Tak Nak Buli’ yang bergema di setiap lokasi persinggahan.

-RI

Tinggalkan komen anda