
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/MCMC
LABUAN, 8 Ogos (MalaysiaAktif) – Penggunaan internet tanpa panduan dan kawalan yang baik mampu menjadi ancaman terutama kepada golongan remaja.

Warga MCMC Wilayah Persekutuan bergambar kenangan bersama Faisal dan Yahya.
Menurut Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Wilayah Persekutuan (WP) Faisal Hamdi Mohammed Ghouth, internet hari ini bukan sekadar alat komunikasi malah sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup harian kita.
“Namun, dengan kemudahan ini juga, datanglah pelbagai risiko dan cabaran yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan khususnya para generasi muda.
“Antara isu utama yang sering melibatkan pelajar sekolah di Malaysia hari ini ialah buli siber iaitu satu bentuk gangguan atau kekerasan dalam talian yang sering melibatkan pelajar sekolah di Malaysia melalui media sosial dan aplikasi pesanan ringkas selain menjadi mangsa penipuan dalam talian melalui mesej dan e-mel yang boleh menyebabkan kehilangan wang atau data peribadi,” katanya semasa berucap di Karnival Kempen Internet Selamat, di sini semalam.

Faisal (enam dari kiri) bersama Yahya (tujuh dari kiri) bersama para peserta Karnival Kempen Internet Selamat.
Menurutnya pendidikan keselamatan dalam talian yang holistik dan penglibatan aktif ibu bapa serta guru penting untuk membimbing pelajar menggunakan internet dengan selamat dan bertanggungjawab sekali gus memastikan mereka terlindung daripada ancaman siber yang semakin kompleks.
“Saya menyeru agar kita semua terus bekerjasama dalam memupuk budaya internet selamat di sekolah, di rumah dan dalam komuniti agar kita dapat memastikan generasi muda kita berkembang dengan sihat dan berdaya saing dalam evolusi dunia digital yang pesat ini,” katanya.
Karnival dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan yang disertai pelajar daripada 17 sekolah rendah dan 11 sekolah menengah.
-RI





