
Laporan/ Foto : Safik Effendi Kassim (SARAWAK)
KUCHING, 20 Ogos (MalaysiaAktif) – Berpengalaman lebih 20 tahun bekerja bersama Nestle, Safene Selihi, 55, sentiasa komited mempromosikan cita rasa masakan mi segera jenama Maggi dan masakan lain menggunakan produk sama secara langsung kepada pelanggan menggunakan trak saji makanan Maggi.
Sebagai seorang Field Promotion Operator (FPO) atau operator promosi di lapangan, beliau juga seorang yang berpengalaman dalam menyediakan masakan apabila pernah mendapat latihan penyediaan makanan daripada Cef Molok iaitu salah seorang cef Maggi terkenal di Kuching.

Safene, berpengalaman lebih 20 tahun, komited mempromosikan cita rasa Maggi.
“Bukan sahaja mi segera, kami sebagai FPO juga menyediakan masakan lain menggunakan bahan atau perisa Maggi Secukup Rasa dan semua masakan dibuat secara langsung di hadapan pelanggan supaya mereka lebih yakin akan penggunaan produk Maggi dalam masakan.
“Kami sememangnya terlatih menggunakan sukatan perisa yang ditetapkan dalam setiap masakan supaya konsisten dari segi rasa dan kualiti,” kata Safene ketika ditemui hari ini.
Tambah beliau lagi, Maggi yang merupakan salah satu jenama di bawah Nestle telah lama berada di pasaran sehinggakan ramai mengenali dan meminati produk Maggi iaitu mi kari, mi ayam dan asam laksa.
“Salah satu kelebihan produk jenama ini adalah ia mudah digunakan dalam masakan harian dan selain perisa untuk nasi goreng, kami juga mempromosikan sos tiram, sambal tumis, kiub Maggi kari dan sate,” katanya lagi.
Menyentuh penggunaan trak saji makanan untuk tujuan promosi, Safene yang memiliki Lesen Kenderaan Barangan (GDL) berpendapat penggunaan kenderaan tersebut memudahkan promosi Maggi secara terus kepada pelanggan di sekitar Kuching.
“Kebiasaannya promosi dibuat di beberapa pejabat atau premis tertentu pada sebelah pagi dan sebelah petang promosi akan dibuat di pasar raya.
“Harapan saya pula, Maggi akan terus menjadi teman setia di dapur setiap keluarga,” ujar Safene mengakhiri perbualan.
-RJ-





