
Laporan/ foto: Md Khairul Azad Yunus/ Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 11 Okt (MalaysiaAktif) – Seramai 27 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang baharu dilantik diseru untuk menjadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan sebagai kompas kepimpinan dalam membangunkan kampung.

Mohd Husni semasa menyampaikan ucapan kepada barisan Pengerusi JPKK
Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh menyeru kepada para pengerusi JPKK agar tidak melihat KPI sebagai beban kecil tetapi melihatnya sebagai kompas kepimpinan yang menghubungkan kampung dengan cerita besar Labuan.
“Jadikan mesyuarat JPKK sebagai parlimen kecil kampung, suara rakyat direkod dan dibawa ke atas, jadikan aktiviti sebagai tarikan untuk pelawat, jadikan kampung sebagai pentas budaya dan komuniti untuk tarikan para pelawat, pelancong.
“Jika KPI ini kita lihat sebagai jambatan kepada cerita besar Labuan, kita sedang menulis sejarah bersama.
“Jika dunia menghormati Labuan kerana Islamic finance dan digital innovation, maka Malaysia juga mesti menghormati Labuan kerana ketahanan dan kreativiti kampungnya,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JPKK Labuan sesi 2025–2027, di sini kelmarin.

Mohd Husni bergambar kenangan bersama para Pengerusi JPKK Labuan sesi 2025–2027
Beliau turut mengingatkan bahawa jawatan tersebut adalah amanah rakyat yang perlu dipikul dengan penuh komitmen.
“Tuan-tuan adalah jambatan yang menghubungkan rakyat dengan kerajaan, tuan-tuan adalah tiang seri yang memastikan kampung berdiri teguh, dan Labuan terus dihormati.
“Saya janji, Perbadanan Labuan akan bersama tuan-tuan, kita akan dengar, kita akan bantu, kita akan bergerak bersama,”jelasnya lagi.
Pada majlis itu seramai 27 orang Pengerusi JPKK atau Ketua Kampung menerima watikah pelantikan bagi sesi 2025–2027.
-AA-





