Skip to main content
Berita TempatanSabah

Bunga Telang Latte, Jana Ekonomi Usahawan dan Petani Desa

By 4 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak (Penampang)

PENAMPANG, 4 Nov (MalaysiaAktif) – Selain dijadikan sebagai bahan pewarna makanan, bunga telang kini mula dikomersilkan sebagai salah satu produk minuman moden dikenali sebagai blue sky latte di bawah jenama minuman tempatan Lumee.

Produk diasaskan di bawah Lumamus Herb Sanctuary ini mengolah kelopak bunga telang kepada serbuk yang boleh digunakan sebagai bahan utama untuk menghasilkan minuman, kuih tradisional dan nasi kerabu.

Penganalisis Pemasaran Lumee, Brenda Malony Tony, 22, berkata serbuk bunga telang tersebut dihasilkan sendiri oleh pihaknya selepas proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan kerjasama komuniti tani desa di luar bandar.

Brenda (kedua dari kiri) mempamerkan produk minuman yang diperbuat daripada serbuk bunga telang dan labu kuning bersama rakan-rakan sekerja.

“Daripada kita mempopularkan matcha hijau daripada Jepun, kenapa tidak kita angkat produk tempatan seperti bunga telang? Setakat ini, minuman latte bunga telang ini tidak begitu banyak di pasaran, kami antara yang pertama di Sabah yang menghasilkannya.

“Sebab perniagaan ini inklusif kerana ianya melibatkan penduduk kampung sekaligus memberikan kesan sosio-ekonomi lebih luas kepada mereka di luar bandar di mana kami membuat kajian dan bekerjasama dengan penduduk kampung antaranya di Moyog, Keningau serta Tongod,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Aktif ketika menyertai pameran usahawan sempena Hari Terbuka Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di sini hari ini.

Brenda menerangkan kepada pelanggan yang datang bertanya berkenaan produk minuman bunga telang.

Tambah Brenda, dihasilkan tanpa campuran gula, serbuk bunga telang mempunyai manfaat dari sudut kesihatan selain bantu ekonomi petani luar bandar.

“Serbuk ini tidak menggunakan gula, sepenuhnya menggunakan bunga telang dan sekarang ada perisa lain seperti labu kuning. Bunga telang ini juga memiliki manfaat kesihatan yang kaya dengan antioksidan, baik untuk kesihatan kulit dan penglihatan.

“Kami mencuba untuk berinovasi, dan menyesuaikan strategi pemasaran dengan trend terkini orang muda selain memasarkan menerusi platform antara peniaga (B2B). Kami dapatkan bahan mentah semuanya daripada petani di luar bandar dan ini membantu mengembangkan ekonomi mereka,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda