
Laporan/foto: Senie Haji Endin/Mohd Nayseruddin Borhan (Betong)
BETONG, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Surau Setia serta Biro Wanita Kampung Baru Hilir menganjurkan gotong-royong memasak bubur lambuk di pekarangan Surau Setia, di sini semalam.
Penduduk kampung mula berkumpul seawal 9 pagi bagi menyediakan bahan masakan sebelum bubur lambuk dimasak secara bergotong-royong.

Ahli Biro Wanita Kampung Baru Hilir bergotong-royong menyediakan bubur lambuk di pekarangan Surau Setia, Betong sempena program agihan kepada penduduk setempat.
Pengerusi JKKK Kamar Lugom berkata program itu bertujuan menyediakan juadah untuk diagihkan kepada penduduk di samping mengeratkan silaturahim komuniti.
“Program ini mengukuhkan hubungan masyarakat setempat melalui kerjasama antara JKKK, pihak surau dan Biro Wanita,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif.
Sebanyak 78 bekas bubur lambuk katanya diagihkan kepada 78 ketua isi rumah dengan keutamaan kepada warga emas serta keluarga memerlukan.
Ketua Biro Wanita Nur Yusnira Yunus berkata kerjasama lelaki dan wanita dalam menjayakan program itu mencerminkan semangat perpaduan komuniti kampung.
-RJ-





