
Laporan/foto: Mohd Faizal Mat Akhir/U.Prakash (Timur Laut)
GEORGE TOWN, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Program 10 Rasa, 1 Ukhuwah Semarak Ramadan 2026 yang mengetengahkan penyediaan 10 jenis bubur tradisional sebagai simbol kepelbagaian rasa dan perpaduan masyarakat berjaya dianjurkan di Masjid Jamek Hashim Yahaya, Sabtu lepas.

10 jenis bubur tradisional ditawarkan kepada penduduk setempat sebagai juadah berbuka puasa
Antara bubur yang disediakan ialah Bubur Lambuk, Bubur Kacang, Bubur Cha Cha, Bubur Suji, Bubur Nasi, Bubur Kacang Merah, Bubur Jagung, Bubur Serawa Pisang, Bubur Gandum dan Bubur Serawa Labu, hasil gotong-royong komuniti setempat yang berganding bahu menjayakan program tersebut.
Menurut Pemangku Ketua Daerah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Timur Laut Rozaiman Redzuan, program ini bukan sahaja menyemarakkan penghayatan Ramadan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat.
“Keistimewaan program ini terletak pada penyediaan 10 jenis bubur tradisional, selaras dengan tema 10 Rasa, 1 Ukhuwah, yang membawa mesej perpaduan dan kebersamaan sepanjang Ramadan,” katanya.
Kesemua bubur yang disediakan diagihkan kepada jemaah masjid dan penduduk sekitar sebagai simbol perkongsian rezeki, semangat gotong-royong dan ukhuwah yang terus diperkukuh sepanjang bulan Ramadan.
-AA






