Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

KPDN Pulau Pinang Rekod 37 Kes Melalui Op Pantau 2026

By 10 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Shamsul Bahari Abdul Shukor (Pulau Pinang)

KEPALA BATAS, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merekodkan sebanyak 37 kes membabitkan pelbagai kesalahan melalui 3,825 pemeriksaan dalam Op Pantau 2026.

S. Jegan (kanan) melancarkan Bazar Ramadan Rahmah Bandar Bertam Putra

Pengarah KPDN Negeri Pulau Pinang S. Jegan berkata antara kesalahan yang dikesan melibatkan kegagalan meletakkan tanda harga, penggunaan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan, tidak memiliki permit barang kawalan berjadual serta penjualan barangan menggunakan cap dagang tidak sah.

“Daripada jumlah tersebut, 18 kes dikesan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP), enam kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, 11 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, satu kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan satu kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Sebanyak 25 kompaun serta-merta dikeluarkan, manakala 12 kes lagi dibuka kertas siasatan untuk tindakan lanjut dengan nilai rampasan sebanyak RM420,154.90,” katanya selepas mengadakan tinjauan Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) Bandar Bertam Putra di sini, Sabtu lepas.

Tambah beliau, KPDN Pulau Pinang turut melaksanakan inisiatif PATUH yang memfokuskan pematuhan tanda harga serta amalan perniagaan beretika.

S. Jegan (tengah) bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Negeri Mohd Suffian Mohd Abass (kanan) beramah mesra dengan peniaga yang menawarkan Menu Rahmah di Bazar Ramadan Rahmah Bertam Putra

Beliau berkata melalui inisiatif ini pemantauan berkala dijalankan bagi memastikan harga jualan ditawarkan kekal munasabah, telus dan tidak membebankan pengguna.

“Sehingga kini, sebanyak 2,850 pelekat PATUH telah diedarkan kepada peniaga di lima lokasi BRR yang beroperasi selaras dengan undang-undang, standard serta garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Sebanyak lima BRR di Pulau Pinang dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan iaitu di Jalan Mahkamah Bayan Lepas, Bandar Bertam Putra, Masjid Daerah Seberang Perai Tengah di Bandar Perda, Bertam Melayu Air Itam serta Sungai Acheh.

-AA-

Tinggalkan komen anda