
Laporan/foto: Salleh Immun/IPD Mukah (Mukah)
MUKAH, 30 Mac (MalaysiaAktif) – Seorang lelaki warga asing diberkas selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan terpencil di Jalan Anggun, dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata tangkapan ke atas suspek berusia 53 tahun itu dilakukan kira-kira jam 3.40 petang di pinggir hutan yang dipercayai menjadi lokasi suspek melakukan jenayah tersebut.
“Hasil pemeriksaan menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 0.68 gram.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pekerja buruh ladang sawit itu direman empat hari sehingga 3 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
-FN





