
Laporan/foto: Siti Faridah (Bintulu)
BINTULU, 24 April (MalaysiaAktif) – Penganjuran Special Olympics Malaysia 6th National Games Sarawak 2026 membuka tirai hari ini dengan penyertaan seramai 705 peserta.
Kejohanan sehingga Ahad itu menghimpunkan 489 atlet bersama 219 anggota delegasi dari seluruh negara termasuk Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Pahang serta Wilayah Persekutuan.
Penyertaan besar ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memberi ruang dan peluang kepada golongan berkeperluan khas untuk bersaing secara sihat, sekali gus menyerlahkan potensi mereka di pentas sukan.
Antara tumpuan utama ialah penyertaan atlet muda dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong, Jackson Bantin Isa, 16, yang bukan sahaja bersaing dalam acara lompat jauh dan larian 400 meter (m), malah diberi penghormatan sebagai pembaca ikrar kejohanan.
Menjadikan legenda pecut dunia Usain Bolt sebagai inspirasi, Jackson menyatakan azamnya untuk memberikan persembahan terbaik dalam setiap acara yang disertai.
Sementara itu, jurulatih badminton, Norawaida Ali, 40, menegaskan bahawa penyertaan atlet istimewa dalam kejohanan itu membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar kemenangan.
“Berbeza dengan atlet biasa yang meletakkan fokus utama pada kutipan pingat, atlet istimewa di sini melangkah ke gelanggang untuk bertanding demi mempamerkan keberanian.
“Semangat juang yang ditonjolkan atlet-atlet ini menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk melihat keupayaan sebenar golongan berkeperluan khas tanpa Batasan,” katanya.
Sebagai rekod, pergerakan Sukan Olimpik Istimewa di Sarawak bermula sejak 1998 dan terus berkembang di beberapa bahagian utama termasuk Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu di bawah pimpinan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Penganjuran temasya ini dijangka terus memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan inklusiviti dalam sukan, di samping membuka lebih banyak peluang penyertaan kepada atlet istimewa untuk terus cemerlang di peringkat lebih tinggi.
-RJ-





