Skip to main content
Berita TempatanSabah

JKKK Jadi Mata Telinga Bendung Aktiviti Penyeludupan

By 12 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlan Bakar/Mustapha Bacho (Nabawan)

NABAWAN, 12 April (MalaysiaAktif) –Seramai 105 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang baharu dilantik disaran menjadi mata dan telinga kerajaan bagi membanteras aktiviti jenayah di daerah ini.

Pegawai Kastam Cawangan Keningau, Witter Watis berkata peranan proaktif JKKK dalam menyalurkan maklumat mampu mengekang penjualan minuman keras tidak berlesen dan rokok seludup yang merugikan hasil cukai negara.

“Kerjasama antara jawatankuasa dengan agensi penguatkuasaan adalah kunci utama dalam memastikan kawasan setempat bebas daripada barangan tidak bercukai,” katanya di sini pada Khamis.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar, Jain Kunting menekankan kepentingan JKKK sebagai rakan strategik bagi memantau aktiviti pemburuan haram dan pencerobohan habitat hidupan liar.

“Penglibatan aktif komuniti merupakan langkah utama bagi memastikan khazanah alam terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Kunting turut menggalakkan penduduk menyertai program Renjer Komuniti bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga biodiversiti negara.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin berkata JKKK berfungsi sebagai penghubung utama antara masyarakat dan kerajaan dalam melaksanakan pembangunan.

“Keberkesanan jawatankuasa ini merangkumi aspek menjaga keharmonian, keselamatan serta kebajikan penduduk setempat,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda