Skip to main content
Berita TengahBerita TempatanSelangor

KPDN Selangor Tumpas Aktiviti Pindah Diesel Haram, Lori Bonded Dirampas di Klang

By 14 April 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Herlina Ainizawati Zakaria (Selangor)

SHAH ALAM, 14 April (MalaysiaAktif) – Sebuah lori bonded yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pemindahan bahan api diesel secara haram ditahan dalam satu operasi pemantauan awal pagi pada Selasa di sebuah stesen minyak di Klang dengan nilai rampasan mencecah RM50,000.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Mohd Hanizam Kechek, berkata pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan menemui satu unit tangki skid berkapasiti 5,000 liter yang mengandungi kira-kira 1,000 liter bahan api disyaki diesel.

Mohd Hanizam, berkata pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan menemui satu unit tangki skid berkapasiti 5,000 liter yang mengandungi kira-kira 1,000 liter bahan api disyaki diesel.

“Hasil pemeriksaan ke atas pemandu lelaki wargenegara mendapati tidak mempunyai dokumen sah memiliki dan membawa barang kawalan berjadual jenis bahan api diesel dan berpotensi disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 21 dibaca bersama dengan Peraturan 3(1) memiliki barang kawalan dengan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan dengan berurusniaga barangan kawalan tanpa lesen sah,”

“Pada masa yang sama, pihak stesen minyak juga telah diambil tindakan untuk disiasat di bawah Akta yang sama iaitu di bawah Subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974- Pelanggaran Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan secara borong atau runcit atau mengilang apa-apa barang berjadual tanpa lesen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Hanizam, berkata KPDN Selangor turut mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh stesen minyak bagi memastikan pengagihan bahan api bersubsidi dilaksanakan secara telus, teratur dan sampai kepada golongan sasar, selain membanteras ketirisan serta manipulasi subsidi.

“Langkah penguatkuasaan ini turut dilaksanakan susulan tekanan kos akibat ketidaktentuan pasaran tenaga global, dengan keperluan subsidi diesel dianggarkan mencecah RM2.2 bilion sebulan, yang tentu sekali menuntut kawalan rapi ke atas pengoperasian stesen minyak bagi melindungi rakyat Selangor,” katanya.

Bagi tempoh Ops Tiris 4.0 bermula 1 April 2026, sebanyak 476 pemeriksaan telah dijalankan melibatkan 453 stesen minyak, 20 pemborong bahan api, sebuah kedai runcit pemegang permit barang kawalan serta dua premis stor haram.

Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh kes telah direkodkan melibatkan dua kes stor haram, sebuah kedai perkakasan, satu kes di stesen minyak dan tiga kes pemborong bahan api, dengan jumlah sitaan keseluruhan mencecah RM70,000.

Mohd Hanizam turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dengan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

Kementerian itu juga akan mengesyorkan pembatalan atau penggantungan kelulusan Fleet Card terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan kemudahan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) serta subsidi nelayan di Selangor.

Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku urus niaga barang kawalan bersubsidi bagi membantu penguatkuasaan di negeri ini.

-RI

Tinggalkan komen anda