
Laporan/foto: Mohd Nazri (Langkawi)
LANGKAWI, 10 April (MalaysiaAktif) – Masjid Nurul Islam, Sungai Itau, Ayer Hangat, di sini menerima sumbangan karpet gantian daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sebagai tanggungjawab sosial korporat agensi di bawah Kementerian Kewangan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA sedang ditemu ramah media.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Panorama Langkawi Datuk Seri Iskandar Datuk Mohd Kaus berkata sumbangan itu dijayakan bersama anak syarikatnya Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (Panorama Langkawi).
“Peranan LADA bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan pelancongan dan ekonomi, malah turut memberi perhatian kepada kebajikan sosial masyarakat.
“Penduduk setempat menyambut baik sumbangan ini kerana ia membantu meningkatkan kemudahan masjid yang menjadi pusat aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan,” katanya di sini kelmarin.
Sumbangan berjumlah RM20,000 itu bertujuan meningkatkan keselesaan jemaah serta mewujudkan persekitaran ibadah yang lebih kondusif, selaras dengan usaha memperkasa kesejahteraan komuniti setempat.
“Program ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara LADA dan komuniti serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik pada masa akan datang,” katanya.

Masjid Nurul Islam Sungai Itau Ayer Hangat, Langkawi.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid merangkap Pengerusi Sementara Masjid, Abdul Azim Mahmud, berkata pihaknya amat bersyukur dengan sumbangan yang diterima.
“Kos keseluruhan adalah sebanyak RM64,000, selain sumbangan ini pihak kariah masjid telah meminta sumbangan daripada anak kariah untuk mencukupkan kos penggantian karpet di mana telah siap sepenuhnya dan dapat digunakan pada 1 Syawal baru-baru ini,” katanya.
-RI





