Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Program Jualan Rahmah Di Saratok Terus Bantu Ringankan Kos Sara Hidup

By 17 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Jane Chua (Saratok)

SARATOK, 17 April (MalaysiaAktif) – Program Jualan Rahmah di daerah ini terus mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat setempat melalui tawaran barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.

Inisiatif tersebut dilaksanakan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya bagi golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan barangan asas.

Ghani Daud tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan harian yang ditawarkan pada harga berpatutan di Program Jualan Rahmah.

Antara barangan yang ditawarkan termasuk beras, minyak masak, gula serta telur bagi memastikan penduduk setempat mendapat akses kepada bekalan makanan pada harga berpatutan.

Pengunjung Ghani Daud, 43, berkata program tersebut banyak membantu mengurangkan perbelanjaan harian keluarganya melalui penjimatan harga yang ditawarkan.

“Dengan harga yang lebih rendah kami sekeluarga dapat berjimat sekali gus mampu membeli keperluan dapur dengan lebih mencukupi,” katanya kepada MalaysiaAktif hari ini.

Penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Mcdonald Dana, 60, memberitahu kerajaan terus prihatin menyediakan pelbagai inisiatif bantuan bagi melindungi rakyat yang terkesan susulan krisis ekonomi global.

Mcdonald Dana memanfaatkan Program Jualan Rahmah dengan mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.

Beliau berkata keberkesanan program tersebut turut diperkukuh dengan sokongan bantuan lain seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).

“Gabungan inisiatif bantuan kewangan dan jualan murah seperti ini secara langsung membantu mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi rakyat masa kini,” katanya.

Pelaksanaan Program Jualan Rahmah dilihat sebagai langkah strategik kerajaan dalam menstabilkan harga barang serta menjamin kesejahteraan komuniti di peringkat luar bandar.

-RJ-

Tinggalkan komen anda