Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Festival Belia @ Hari Belia Negara Terengganu Dekati Belia Luar Bandar

By 47 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatihayatul Sadi/Maznah Ngah (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 9 Jun (MalaysiaAktif) – Sambutan Festival Belia @ Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu 2026 tampil dengan pendekatan berbeza apabila dianjurkan di kawasan luar bandar bagi memastikan lebih ramai golongan belia mendapat akses kepada pelbagai program pembangunan dan aktiviti yang disediakan.

Festival di Dataran Padang Kacong, Telemong dari 19 hingga 21 Jun ini merupakan satu usaha untuk memperluaskan penyertaan belia di luar kawasan bandar, selaras dengan hasrat untuk memastikan manfaat program dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.

Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Nurul Afifa Sofina Azmi berkata penganjuran kali ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya yang lebih tertumpu di kawasan bandar.

Menurutnya, pendekatan tersebut diambil bagi memberi peluang sama rata kepada golongan belia tanpa mengira lokasi untuk menyertai pelbagai aktiviti yang dirancang.

“Sebelum ini kita banyak menumpukan sambutan Hari Belia di kawasan bandar, namun tahun ini kita membawa kelainan dengan mengadakannya di kawasan luar bandar bagi memberikan peluang yang sama rata kepada semua belia untuk menyertai dan menikmati pelbagai program yang disediakan,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Beliau berkata, sambutan Hari Belia yang diraikan pada setiap 15 Mei merupakan pengiktirafan kepada golongan belia sebagai aset penting negara, selain menjadi platform untuk menghimpunkan mereka bagi mengetengahkan bakat, potensi dan minat masing-masing.

Katanya, pemilihan Telemong sebagai lokasi penganjuran juga memberi peluang kepada komuniti setempat untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti yang disusun sepanjang festival berkenaan.

Antara pengisian yang disediakan termasuk peluang pekerjaan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), program larian keluarga serta aktiviti tradisional seperti permainan wau dan gasing.

-AA-

Tinggalkan komen anda