
Laporan/Foto: Najib Juanis (Papar)
PAPAR, 20 Jul (MalaysiaAktif)-Laluan pendidikan berasaskan kemahiran semakin penting dalam menyediakan generasi muda menghadapi perubahan pasaran kerja apabila lebih 600 pelajar diberi pendedahan mengenai peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan tinggi serta keusahawanan.
Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC), Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra berkata, pembangunan modal insan kini memerlukan pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja menekankan pencapaian akademik, malah melahirkan individu berkemahiran, kreatif dan memenuhi keperluan industri.
“Dalam era digital yang berkembang pesat, penguasaan kemahiran teknologi, inovasi dan kreativiti menjadi keperluan utama bagi memastikan generasi muda kekal relevan dalam dunia pekerjaan.
“Kerajaan Negeri Sabah melalui agenda Sabah Maju Jaya sentiasa memberi penekanan kepada pembangunan modal insan. Oleh itu, anak-anak kita perlu diberi pendedahan awal mengenai peluang pendidikan tinggi, bidang TVET, keusahawanan dan pekerjaan masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Aspirasi Murni Pantai Manis 2030: Kerjaya dan Pendidikan Daerah Papar 2026 di Dewan Datuk Salleh Sulong, Papar, baru-baru ini.
Program berkenaan menghimpunkan institusi pendidikan, penyedia latihan kemahiran, agensi kerajaan, sektor industri serta usahawan tempatan bagi membuka ruang kepada pelajar dan komuniti mendapatkan maklumat mengenai pilihan pendidikan serta laluan kerjaya.
Menurut Pengiran Saifuddin, penglibatan lebih 33 pempamer daripada pelbagai sektor memberi peluang kepada pelajar mengenali bidang pengajian dan kerjaya yang bersesuaian dengan minat serta kebolehan masing-masing.
“Program ini membuktikan komitmen memastikan generasi muda Pantai Manis dan Papar tidak ketinggalan dalam mendapatkan akses kepada maklumat pendidikan, latihan kemahiran serta peluang pekerjaan yang lebih luas.
“Pendidikan merupakan asas kepada pembangunan sesebuah masyarakat. Kemajuan sesebuah negeri tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi juga melalui keupayaan melahirkan rakyat yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” ujarnya.
Pengiran Saifuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis berkata, pelajar perlu berani meneroka pelbagai laluan pendidikan termasuk akademik, TVET dan keusahawanan sebagai persediaan membina masa depan, manakala ibu bapa serta guru memainkan peranan penting membimbing mereka membuat pilihan tepat.
Beliau berkata, aspirasi Pantai Manis 2030 bukan sekadar slogan, sebaliknya komitmen berterusan untuk membina masyarakat berpendidikan, berkemahiran serta mempunyai peluang ekonomi lebih baik menerusi kerjasama kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan komuniti.
Pada majlis sama, sebanyak RM772,000 bantuan pendidikan disalurkan bagi memperkasa aktiviti sekolah dan pembangunan pelajar di daerah Papar, meliputi RM400,000 Bantuan Aktiviti Kelab dan Persatuan Institusi Pendidikan Sabah (BALKIS), RM186,000 Bantuan Aktiviti PIBG Sekolah (BAGUS) serta RM186,000 Bantuan Sekolah Unggul Sabah (SUKSES).
-RJ-






