Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

AKPS BSI Nasihat Pengembara Rancang Perjalanan Awal Elak Kesesakan Di CIQ

By 20 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/AKPS

JOHOR BAHRU, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) menasihatkan orang ramai, khususnya pengembara yang berulang-alik ke Singapura atas urusan kerja agar merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) BSI di sini.

AKPS BSI dalam satu kenyataan semalam memaklumkan hasil pemantauan pihaknya mendapati majoriti pengembara memulakan perjalanan secara serentak antara 6.30 hingga 7.30 pagi, sekali gus menyumbang kepada kesesakan di pintu pemeriksaan.

“Sehubungan itu, orang ramai disarankan supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kelewatan serta kesesakan pada waktu puncak.

“Bagi membantu melancarkan aliran pemeriksaan, orang ramai turut diminta memberi kerjasama dengan mematuhi arahan petugas di lokasi, termasuk bergerak ke bahagian belakang bagi memenuhi lorong pemeriksaan yang masih kosong,” menurut kenyataan itu.

Pengembara diingatkan supaya memastikan mereka memasuki lorong pemeriksaan yang betul mengikut kaedah perjalanan masing-masing.

Dalam pada itu, AKPS BSI turut menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi MyNIISe bagi mempercepat proses pelepasan di sempadan yang disifatkan lebih mudah dan berkesan.

Agensi itu turut mengingatkan pengguna aplikasi berkenaan untuk memastikan kod QR mereka dikemas kini.

“Bagi pengguna MyNIISe, sila pastikan kod QR telah dikemas kini dan sedia digunakan sebelum tiba di lorong pemeriksaan.

“Tindakan mengemas kini kod QR ketika berada di kaunter pemeriksaan akan memanjangkan tempoh pemeriksaan dan boleh
menyumbang kepada kesesakan di lorong berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pengembara juga dinasihatkan agar menggunakan lorong pemeriksaan yang betul berdasarkan kaedah pelepasan masing-masing, sama ada melalui Kaunter Manual, MyBorderPass atau MyNIISe untuk melancarkan urusan di kompleks berkenaan.

-RI

Tinggalkan komen anda