Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Fahami Undang-Undang Keluarga Islam Tangani Isu Harta Pusaka Terbeku

By 11 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Masyarakat diseru untuk meningkatkan kefahaman mengenai Undang-Undang Keluarga Islam bagi mengurangkan pertikaian di Mahkamah Syariah serta menangani isu harta pusaka terbeku.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, pembekuan harta pusaka lazimnya berpunca daripada kelewatan mengurus tuntutan, konflik dalam kalangan waris serta kurangnya perancangan awal melalui instrumen seperti hibah dan wasiat.

“Pembekuan harta menyebabkan tanah terbiar, waris tidak memperoleh hak sewajarnya dan akhirnya menjejaskan pembangunan ekonomi masyarakat. Justeru, perancangan harta perlu dibuat lebih awal bagi mengelakkan masalah yang berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penangguhan Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak 2026 sempena Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak (MIS) Zon Selatan di Masjid Bandar Sri Aman, hari ini.

Selain menggesa masyarakat menjadi ejen penyampai maklumat, Dayang Noorazah turut menasihati orang ramai agar tidak menjadikan media sosial sebagai medium meluahkan isu kekeluargaan kerana tindakan itu boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan maruah pihak terlibat.

“Sebarang permasalahan keluarga hendaklah dirujuk kepada saluran yang betul seperti khidmat runding cara, proses Sulh dan institusi perundangan yang disediakan supaya penyelesaian dapat dicapai secara berhemah, adil dan mengikut lunas syariah,” tambahnya.

Sementara itu, seminar anjuran bersama Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) dan MIS itu turut menyediakan kaunter khidmat nasihat daripada pelbagai agensi bagi memberi penerangan mengenai perundangan Islam dan pengurusan harta pusaka.

Pada majlis sama, lima keluarga asnaf di Daerah Sri Aman turut menerima sumbangan bakul makanan sebagai sebahagian daripada inisiatif Program Ziarah Mahabbah menyantuni golongan memerlukan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda