
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/Facebook Amirudin Shari
SHAH ALAM, 16 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor memperluaskan Program Ambulans Kita Selangor Fasa 2 ke seluruh sembilan daerah bagi meningkatkan akses pengangkutan perubatan percuma untuk rakyat.
Inisiatif diumumkan menerusi Belanjawan Negeri Selangor 2025 itu memberi tumpuan kepada pesakit kronik, warga emas dan pesakit terlantar bagi kes bukan kecemasan.
Perkhidmatan tersebut meliputi pengangkutan menghadiri temu janji rawatan susulan, penghantaran pulang pesakit selepas discaj serta pemindahan pesakit memerlukan sokongan perubatan sepanjang perjalanan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan program turut membantu ambulans hospital memberi tumpuan sepenuhnya kepada kes kecemasan dan kritikal.
“Bermula 1 Julai lalu, kita melangkah setapak lagi ke hadapan melalui pelaksanaan Program Ambulans Kita Selangor Fasa 2. Fasa kedua ini membawa dua perubahan yang amat signifikan,” katanya ketika majlis pelancaran, di sini semalam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata bagi menjayakan program berkenaan, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta melalui kerjasama strategik bersama St. John Ambulans Malaysia yang memiliki 48 unit ambulans.
“Program Ambulans Kita Selangor diperluaskan ke seluruh sembilan daerah di Negeri Selangor, berbanding hanya lima daerah sebelum ini, sekali gus meliputi semua kawasan PBT dan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri,” jelasnya.
Beliau berkata skop perkhidmatan turut diperluaskan kepada semua 86 Klinik Kesihatan di Selangor, sekali gus memastikan rakyat di bandar, pinggir bandar dan luar bandar menikmati akses sama.
Program itu dikekalkan kepada pemohon berpendapatan kasar isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan benar-benar memerlukan.
-RI




