Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Program Skrin Besar Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2026 Himpun Masyarakat Gua Musang

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noziryati Yusoff@Ibrahim/Muhammad Amirul Faisal Rostan (Gua Musang)

GUA MUSANG, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Program Skrin Besar Perlawanan Akhir Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2026 di Dataran Titiwangsa Gua Musang, awal pagi semalam berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh meriah dan semangat kesukanan.

Program anjuran Teraju Muda bersama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang itu menjadi platform kepada golongan belia, keluarga dan peminat bola sepak menyaksikan tayangan secara langsung perlawanan akhir menerusi skrin besar yang disediakan.

Menurut wakil dari Teraju Muda Daerah Gua Musang Muhammad Airul Shaqim, penganjuran program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat menikmati kemeriahan bola sepak, malah menjadi medium mengeratkan hubungan komuniti.

Ucapan dari wakil Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang.

“Program ini bukan sekadar tayangan perlawanan, tetapi medan menyatukan masyarakat melalui minat yang sama terhadap sukan serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan komuniti,” katanya.

Beliau berkata sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat membuktikan aktiviti berteraskan sukan mampu menjadi wadah penyatuan selain menggalakkan gaya hidup sihat.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dengan memberikan sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing secara tertib dan harmoni.

Penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen Teraju Muda dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang dalam memperkasa pembangunan belia melalui aktiviti komuniti yang inklusif serta bermanfaat.

-RI

Tinggalkan komen anda