Skip to main content
Berita TempatanSabah

Denggi Membimbangkan, Komuniti Perlu Bertindak

By 10 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Aziz Karim/Rafidawati Mohd.Taip@Muktar (Sandakan)

SANDAKAN, 20 Jul (MalaysiaAktif)-Senario kes demam denggi di Sandakan ketika ini berada pada tahap membimbangkan, sekali gus menuntut penglibatan aktif komuniti bagi mengekang penularan penyakit itu, kata Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.

Katanya, usaha membanteras denggi tidak boleh dipikul oleh Pejabat Kesihatan atau pihak berkuasa tempatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama setiap isi rumah dalam memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Langkah itu diterjemahkan menerusi pelancaran Komuniti Bebas Denggi (KOMBED) Taman Mesra, yang dijangka menjadi pemangkin kepada usaha kawalan denggi secara lebih tersusun di peringkat komuniti.

“Setiap keluarga perlu menjadikan amalan ‘Search and Destroy’ (Cari dan Musnahkan) kawasan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk selama 10 minit setiap minggu sebagai rutin,” katanya ketika merasmikan Program Gotong-Royong Mega dan Pelancaran KOMBED Taman Mesra, baru-baru ini.

Menurutnya, pelancaran KOMBED menjadi titik permulaan kepada penglibatan lebih menyeluruh penduduk dalam usaha mencegah denggi, khususnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra.

“Sesungguhnya, komitmen padu seperti inilah yang amat kita perlukan bagi memacu kesejahteraan hidup masyarakat Sandakan secara holistik,” ujarnya.

Pada majlis itu, seramai 13 Ahli Jawatankuasa KOMBED turut dilantik bagi menyelaras aktiviti pencegahan dan kesedaran denggi di kawasan berkenaan.

Beliau berharap jawatankuasa itu dapat menjadi pemacu kepada usaha membendung penularan denggi bukan sahaja di Taman Mesra, malah di seluruh daerah Sandakan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda