
Laporan/foto: Rokayah Gobik/Ariffin Rosli (Niah)
NIAH, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Biro Wanita Rumah Ayai, Lubuk Kuini, Sungai Saeh Putih terus menjana peluang ekonomi komuniti luar bandar menerusi penghasilan pelbagai produk kraf tangan di bawah Projek Sejati MADANI.
Inisiatif yang membolehkan penduduk rumah panjang menjana pendapatan sampingan itu menerima bantuan modal sumbangan Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni pada awal Jun 2025.
Ketua Biro Wanita merangkap Ketua Projek Kraf Tangan Linda Munang, 53, berkata inisiatif tersebut bukan sahaja meningkatkan pendapatan isi rumah, malah menggalakkan penglibatan aktif wanita dan belia dalam ekonomi berasaskan kemahiran tradisional.
“Projek ini memberi peluang kepada wanita dan belia memanfaatkan kemahiran sedia ada untuk menghasilkan produk berkualiti, sekali gus membantu menambah pendapatan keluarga,” katanya ketika ditemui.
Menurut Linda, aktiviti menghasilkan kraf tangan dijalankan setiap hari Rabu mengikut giliran kumpulan bagi memastikan penyertaan teratur serta peluang seimbang kepada semua ahli.
Antara produk beridentitikan budaya tempatan yang dihasilkan ialah rantai manik lanyard, rantai manik buah kabo, rantai manik loom, rantai manik serta anyaman bakul.
Sementara itu, Bendahari Biro Wanita Magret Sawing, 54, yang menguruskan kewangan projek berkata hasil jualan diperoleh melalui penyertaan dalam karnival, tempahan agensi kerajaan dan swasta serta jualan dalam talian bagi memperluas pasaran.
Jelasnya, semua jualan disalurkan ke dalam Tabung Kraf Tangan Biro Wanita bagi pembelian bahan mentah, penambahbaikan pengeluaran serta memastikan kelangsungan projek pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, Biro Wanita Rumah Ayai berharap inisiatif di bawah Projek Sejati MADANI itu dapat terus memperluas peluang keusahawanan komuniti, meningkatkan sosioekonomi penduduk luar bandar serta memelihara warisan kraf tangan tempatan agar kekal berdaya saing.
-RJ-






