Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Fenomena El Nino Belum Jejas Hasil Pertanian Di Selangor – EXCO

By 39 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)

SHAH ALAM, 25 Jul (MalaysiaAktif) – Fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini masih belum memberi kesan ketara terhadap pengeluaran buah-buahan dan hasil padi di Selangor berikutan bekalan air bagi sektor pertanian di negeri itu kekal mencukupi.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, walaupun cuaca panas sedang berlaku, impaknya terhadap tanaman buah-buahan di Selangor masih terkawal.

Menurutnya, bagi sektor penanaman padi pula, cabaran utama bukan berpunca daripada fenomena El Nino, sebaliknya lebih tertumpu kepada aspek pengurusan sistem pengairan serta kawalan penyakit tanaman.

“Fenomena El Nino lebih kepada cuaca panas dan kemarau. Bagaimanapun, setakat ini paras air di tujuh empangan utama Selangor masih berada pada tahap yang sangat baik iaitu antara 85 hingga lebih 90 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pesta Buah-Buahan Negeri Selangor 2026 di Aneka Walk, di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Zabidah Safar.

Izham berkata kerajaan negeri turut memantau secara berterusan paras air sungai bagi memastikan bekalan air kepada sektor pertanian sentiasa mencukupi.

Katanya, sekitar dua bulan lalu berlaku sedikit penurunan paras air sungai yang berpotensi meningkatkan kadar ammonia, namun keadaan itu berjaya dikawal menerusi tindakan segera pihak berkaitan.

“Kita telah mengepam air simpanan melalui program OPAK (Operasi Pengepaman Air Kolam) bagi memastikan kualiti air berada pada tahap yang selamat,” katanya.

Beliau menegaskan bekalan air bagi sektor pertanian termasuk di kawasan sawah padi di Selangor ketika ini masih terjamin dan berada dalam keadaan terkawal meskipun berdepan cuaca panas.

-AA-

Tinggalkan komen anda