
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 25 Jul (MalaysiaAktif) – Kesedaran tinggi terhadap amalan menderma darah amat penting bagi menampung keperluan bekalan perubatan di hospital, di samping menyemarakkan budaya kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Supt. Dennis Bunyam berkata masyarakat digalakkan untuk menjadikan amalan menderma darah sebagai amalan berterusan kerana sumbangan tersebut mampu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.
“Sambutan menggalakkan yang diterima pada Kempen Derma Darah Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menderma darah serta komitmen pelbagai pihak dalam melaksanakan tanggungjawab sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena program berkenaan di Dewan Che Chuan Khor, di sini hari ini.
Kempen tersebut berjaya mengumpulkan sebanyak 70 beg darah hasil sumbangan 87 penderma terdiri daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat setempat.
Orang ramai turut memanfaatkan Perkhidmatan Saringan Kesihatan Kanser Bergerak MAKNA 2026 dan Perkhidmatan Mamogram Bergerak yang disediakan secara percuma melalui kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
-RJ-




