
Laporan/foto: Lim Poh Choo (Sarawak)
KUCHING, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Dua beradik Sharon Chew Tze Xuan, 14, dan Sheryl Chew Tze Wen, 12, mencuri tumpuan apabila masing-masing muncul juara dan naib juara kategori tujuh kilometer (km) Wanita Terbuka pada acara Breaking News Run 2.0 Night Edition, malam Sabtu lalu.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang Sharon berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil latihan yang dilakukan secara konsisten bersama adiknya hampir setiap hari.
“Setiap hari sekitar jam 4 petang, kami akan ke gimnasium untuk berlatih menggunakan mesin ‘treadmill’. Latihan kami dibahagikan kepada dua iaitu latihan stamina dan latihan pecutan.
“Latihan berterusan ini bukan sahaja meningkatkan tahap kecergasan fizikal, malah membantu membina keyakinan diri untuk bersaing dalam pertandingan,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.
Sementara itu, program yang menghimpunkan seramai 980 peserta tersebut dianjurkan bersama oleh Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) Cawangan Sarawak dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA).
Acara itu menawarkan kategori Larian Kompetitif sejauh 7km untuk menguji ketahanan fizikal dan Larian Santai (3km) bagi memberi peluang kepada keluarga serta orang awam menikmati pengalaman berlari dalam suasana malam yang santai.
Para peserta turut melalui beberapa mercu tanda ikonik sekitar bandar raya ini yang secara tidak langsung memberikan pengalaman unik menikmati keindahan malam sambil mengamalkan gaya hidup aktif.
Secara keseluruhannya, penganjuran program riadah seumpama itu diharap dapat mengukuhkan jalinan hubungan antara komuniti dan pengamal media di samping menggalakkan masyarakat membudayakan amalan hidup sihat.
-RJ-




